PGA rampas 21,640kg beras Siam stok raya

TANAH MERAH - Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 21,640 kilogram (kg) beras Siam dipercayai untuk stok hari raya bernilai RM494,500 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bukit Bunga di sini pada Rabu.
Rampasan itu dilakukan oleh PGA menerusi Op Taring Bravo.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam serbuan pertama di Kampung Jakar itu pihaknya berjaya menahan sebuah treler di kawasan kebun pada jam 6 pagi.

"Hasil pemeriksaan, kami telah menjumpai 20,240 kg beras putih dalam treler tersebut yang disyaki diseludup masuk melalui pangkalan haram.
"Turut ditahan dalam serbuan itu, seorang pemandu berusia 36 tahun. Anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM451,000, termasuk treler," katanya pada Khamis.
Menurut beliau, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Kawal Sedia Padi Beras Negara untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, Nik Ros Azhan memberitahu, sekitar jam 7 pagi di lokasi yang sama, PGA telah terserempak dengan sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan terbabit yang ditinggalkan itu, pihaknya telah menjumpai 1,400 kg beras putih.
"Anggaran rampasan termasuk kenderaan bernilai RM43,500," katanya.
Menurut beliau, kedua-dua kes tersebut disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

