Promosi karya agung Melayu

BAGUS sangatlah kenyataan Tuk Seri PMX yang meminta Yayasan Karyawan menerbitkan lebih banyak karya klasik dan yang bertaraf ‘agung’. Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan pemegang amanah Yayasan Karyawan.
Beliau juga cadangkan agar karya-karya agung Melayu dapat diedarkan ke sekolah, universiti dan perpustakaan awam. Awang percaya karya dalam bentuk asal yang mewah dan berkualiti tinggi seperti diterbitkan oleh Yayasan Karyawan itu tentulah tak banyak maknanya pada pembaca umum.
Sepatutnya karya agung ini dibuat edisi mudah (simplified) dan dijual dengan harga berpatutan.
Awang juga hargai keprihatinan PMX nak promosi sastera kebangsaan. DBP kenalah mainkan peranan lebih aktif. Khabarnya DBP pun dapat peruntukan tambahan untuk penerbitan.
DBP patut tengok juga penerbitan dan pengedaran bahan sastera di mayapada. Awang cadangkan DBP sokong usaha sebuah NGO yang galakkan orang membaca di taman-taman terbuka.
Awang cuma nak sampaikan curahan hati karyawan semasa. Moga PMX beri perhatian pada hal hak cipta. Penulis kita sudah lama merana kerana kawalan hak cipta lemah. Kesannya penulis tak dapat royalti.
Hal ini patut sangat kerajaan beri perhatian. Terbit karya agung bagus, tapi karya penulis yang kais pagi makan pagi pun kena beri perhatian juga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
