Dua tahanan lari dari Mahkamah Kuching berjaya diberkas - Polis

KUCHING - Polis berjaya memberkas semula dua tahanan sah yang lari dari Mahkamah Kuching pada 7 Mac lepas, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tahanan pertama berjaya ditahan pada jam 12.30 pagi manakala seorang lagi tahanan pada jam 3.25 petang, di kawasan Kota Samarahan pada hari yang sama.
"Terima kasih diucapkan kepada orang awam kerana telah memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan kes tersebut.
"Reman ke atas kedua-dua suspek telah diluluskan selama tiga hari, sehingga Khamis ini. Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek turut positif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Mohd Farhan berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
