Amir optimis mampu gilap atlet olahraga terbaik

IMPIAN untuk melahirkan atlet berpotensi besar di pentas antarabangsa mampu direalisasikan menerusi perancangan mampan, kerjasama serta sokongan semua pihak.
Keyakinan itu diluahkan jurulatih pecut negara yang baharu, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah - individu yang mencorak kejayaan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.
Beliau yang mengendalikan disiplin 400 meter (m) bagaimanapun berkata, bagi merealisasikan harapan tersebut ia perlu hadir dengan komitmen tinggi atlet itu sendiri.
"Semua pelari 400m di bawah kendalian saya berada dalam program podium dan pelapis MSN (Majlis Sukan Negara).
"Kalau dengan perancangan yang betul dan ada kerjasama daripada semua pihak, Insya-ALLAH kita akan dapat atlet berpotensi besar untuk berada di pentas dunia.
"Itu adalah kepercayaan dan keyakinan saya, namun untuk mencapainya, kita perlu lihat kepada keyakinan atlet itu sendiri.
"Mereka perlu percaya boleh capai sebagai mana saya sasarkan," katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Skuad 400m negara terdiri daripada Abdul Wafi Roslan, Muhammad Firdaus Mohamad Zemi, S Tarshan dan seorang lagi atlet yang bakal membuat penampilan semula, Luqmanul Hakim Khairul Akmal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
