Program PK KDN meriah, erat silaturahim petugas, masyarakat setempat

Antara aktiviti yang mendapat perhatian semasa sambutan Hari Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) Kementerian Dalam Negeri 2025 di Putrajaya pada Sabtu adalah 'Jom Exchange al-Qur’an (JEQ)'. Foto KDN
Antara aktiviti yang mendapat perhatian semasa sambutan Hari Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) Kementerian Dalam Negeri 2025 di Putrajaya pada Sabtu adalah 'Jom Exchange al-Qur’an (JEQ)'. Foto KDN
A
A
A

PUTRAJAYA - Program sambutan Hari Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) Kementerian Dalam Negeri 2025 diraikan penuh meriah bersama masyarakat setempat di Surau Putra Al-Amin Fasa 4C, Presint 8, di sini pada Sabtu.

Timbalan Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ruhaidi Azmi berkata, penganjuran program itu bukan sahaja mampu memperkukuhkan ikatan silaturahim, malah memberi ruang kepada petugas Penguatkuasaan dan Kawalan KDN bersama masyarakat setempat.

Beliau berkata, program penuh manfaat itu juga membuka ruang kepada semua pihak untuk bersama-sama merasai keberkatan dan kebaikan yang ada dalam majlis seumpama itu.

Kata beliau, bertemakan 'Berpadu Bertambah Sejahtera', pelbagai aktiviti dilaksanakan antaranya Jom Exchange al-Qur’an (JEQ), pameran agensi kerajaan, pertandingan mewarna, rewang dan agihan bubur lambuk serta penukaran kad pengenalan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui perkhidmatan Van Mekar.

Ruhaidi (berdiri, dua dari kiri) menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna. Foto KDN
Ruhaidi (berdiri, dua dari kiri) menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna. Foto KDN

"Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat setempat dan agensi kerajaan yang lain.

"Penganjuran program ini juga bertujuan memberikan pendedahan berkaitan peranan dan fungsi KDN khususnya Bahagian PK KDN secara lebih dekat," katanya semasa berucap merasmikan majlis tersebut pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Surau Putra Al-Amin, Zakaria Othman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 3 (MPPSZ3) Putrajaya, Zarina Ismail.

Ruhaidi berkata, mengambil kira kejayaan dan dapatan yang positif daripada masyarakat, pihak pengurusan program memutuskan bahawa sambutan Hari PK KDN akan diadakan setiap tahun di seluruh negara pada bulan Mac.

Artikel Berkaitan:

Bagi tahun 2025, katanya, sambutan itu merupakan sambutan tahun ketujuh penubuhan Bahagian PK KDN dengan bertemakan 'Berpadu Bertambah Sejahtera'.

Menurutnya, antara yang mencuri tumpuan ialah acara rewang dan agihan bubur lambuk yang menggamit kenangan manis, pertandingan mewarna yang mengasah kreativiti generasi muda serta pameran dan perkhidmatan daripada pelbagai jabatan atau agensi yang memudahkan urusan masyarakat.

Tidak ketinggalan katanya, acara tasmik al-Quran yang memperlihatkan kecintaan masyarakat terhadap ilmu dan al-Quran, kaunter zakat yang memberi peluang untuk beramal dan cabutan bertuah yang pastinya memeriahkan suasana.

"Pada hari ini, kita telah disajikan dengan sambutan yang begitu meriah dan penuh dengan pelbagai aktiviti menarik yang memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan.

"Semoga acara seperti ini terus menjadi platform untuk menyemai nilai-nilai positif dan semangat gotong-royong dalam kalangan kita semua," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!