Penduduk gempar kehadiran buaya

KOTA KINABALU - Penduduk Kampung Likas di sini gempar apabila seekor buaya sepanjang satu meter muncul di kawasan mereka awal pagi Sabtu.
Buaya yang dianggarkan seberat 10 kilogram itu berjaya ditangkap oleh sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan.
Menurut kenyataan APM Kota Kinabalu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehadiran reptilia itu pada jam 3.18 pagi.
"Sebaik tiba, pengadu memberitahu bahawa buaya itu telah melarikan diri ke kawasan semak. Pasukan kami segera melakukan pencarian sebelum menemui haiwan berkenaan masih berada di kawasan itu.
"Operasi menangkap buaya dijalankan menggunakan peralatan khas.
"Anggota APM menggunakan tali untuk menjerut mulut buaya dan kain bagi menutup matanya bagi mengelakkan ia bertindak agresif," katanya.
Menurutnya, buaya tersebut berjaya ditangkap sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
