39 guru, murid terkandas lebih 10 jam akibat banjir

Guru yang terkandas di SK Tampoi Utama dipindahkan pasukan penyelamat pada awal pagi Jumaat. Foto JBPM Johor
Guru yang terkandas di SK Tampoi Utama dipindahkan pasukan penyelamat pada awal pagi Jumaat. Foto JBPM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 39 mangsa terdiri daripada guru termasuk murid perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Tampoi Utama di sini, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada awal pagi Jumaat selepas terkandas lebih 10 jam akibat banjir.

Difahamkan, kesemua mangsa termasuk seorang guru wanita yang mengandung tidak dapat keluar dari kawasan sekolah selepas sesi persekolahan tamat pada jam 12.30 tengah hari kerana kawasan sekolah dinaiki air.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah bot digunakan dalam operasi menyelamat yang berakhir pada jam 3.17 pagi.

"Seramai 39 mangsa berjaya dipindahkan ke PPS SJKC Pu Sze termasuk 24 guru wanita dan enam kanak-kanak perempuan.

"Operasi turut melibatkan penghantaran makanan kepada kesemua mangsa yang terlibat di sekolah terbabit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kerja-kerja pemindahan turut dibantu empat anggota polis dan dua anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!