Rumah pekerja terbakar: Seorang maut, lima cedera

Rumah dua tingkat yang dijadikan rumah pekerja terbakar dalam kejadian Jumaat.
Rumah dua tingkat yang dijadikan rumah pekerja terbakar dalam kejadian Jumaat.
A
A
A

MELAKA – Seorang maut, manakala lima yang lain cedera dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Lorong Bandar Hilir 3 di sini pada Jumaat.

Mangsa, seorang lelaki berusia 59 tahun, disahkan meninggal dunia selepas terperangkap dalam rumah yang musnah 70 peratus akibat kebakaran.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.58 pagi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan kediaman berkeluasan 20 x 65 kaki persegi yang dijadikan rumah pekerja.

Ketika kejadian, enam individu berada di dalam rumah berkenaan.

"Kesemua mangsa berada di tingkat atas ketika kebakaran berlaku. Seorang daripadanya berjaya menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba.

"Empat lagi mangsa dikeluarkan oleh pasukan penyelamat, sementara seorang lelaki berusia 59 tahun terperangkap dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, mereka yang cedera terdiri daripada lelaki berusia 50 hingga 76 tahun serta seorang wanita warga China berusia 38 tahun.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

Kejadian itu turut menyebabkan tiga kenderaan terbakar, iaitu Kia Picanto, Honda Accord, dan sebuah van Mercedes.

Tambah beliau, operasi pemadaman melibatkan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dengan bantuan BBP Padang Temu dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.27 pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!