Tak perlu negatif pemain warisan bukan gred A

Hector Hevel dan Gabriel Palmero mula turun berlatih bersama pasukan negara menjelang perlawanan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa depan.
Hector Hevel dan Gabriel Palmero mula turun berlatih bersama pasukan negara menjelang perlawanan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa depan.
A
A
A

PENGURUSAN Harimau Malaya sudah tentu tahu apa yang terbaik buat pasukan negara di sebalik ramai mempersoalkan tindakan mengambil pemain warisan bukan dalam kategori gred A.

Skuad kebangsaan menerima dua pemain warisan baharu iaitu Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang sudah mula turun berlatih bersama pasukan negara menjelang perlawanan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa depan.

Namun, kehadiran kedua-dua pemain itu mengundang perdebatan dalam kalangan warga maya dengan ada yang bersetuju dan ada juga tidak bersetuju melihatkan pemain itu tidak beraksi di liga utama dalam kelab yang diwakili mereka.

Hevel berusia 28 tahun merupakan pemain tengah beraksi untuk kelab dari Portugal, Portimonense yang ketika ini berada di kedudukan ke-13 di liga kedua Portugal.

Palmero pula merupakan pemain pertahanan berusia 23 tahun yang ketika ini beraksi secara pinjaman bersama pasukan divisyen empat Sepanyol, CD Tenerife B dari kelab Las Palmas.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, isu tersebut seharusnya tidak menjadi pertikaian warga maya dan percaya pengurusan Harimau Malaya sudah melihat dari pelbagai sudut sebelum merekrut kedua-dua pemain itu.

"Pada saya, kita perlu menaruh kepercayaan kepada pengurusan Harimau Malaya dan pengendali pasukan Peter Cklamovski dalam memilih dan menentukan hala tuju pasukan bola sepak negara.

"Apatah lagi kerajaan telah memberikan bantuan yang cukup lumayan kepada pasukan negara dan untuk memastikan rakyat mendapat satu persembahan terbaik daripada pemain negara.

Artikel Berkaitan:

"Penglibatan pemain-pemain ini sudah tentu telah dikaji oleh pengurusan dan kita kena memberi keyakinan kepada mereka. Lagipun, untuk mencari pemain gred A ini bukan senang," katanya kepada Sukan Sinar.

Menurut Azlan, peminat bola sepak negara juga tidak boleh terus meletakkan penilaian terhadap pemain warisan baharu itu tanpa melihat aksi mereka bersama pasukan kebangsaan terlebih dahulu.

"Mungkin pemain-pemain ini bermain di bukan liga utama, namun kita juga perlu melihat kombinasi yang boleh dibentuk antara mereka dan pemain Harimau Malaya.

"Jurulatih sudah tentu tahu bagaimana mereka mahu mengadunkan pemain warisan dan pemain tempatan agar mereka dapat menonjolkan satu persembahan yang mampu menggembirakan penyokong.

"Jadi, jangan terlalu cepat bersikap negatif dan berikan peluang kepada mereka beraksi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!