Jun Hao ketuai kemaraan pemain negara di Switzerland

PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, berjaya mengakhiri badi pusingan pertama di Terbuka Switzerland yang berlangsung di St Jakobshalle, Basel.
Jun Hao menewaskan pemain Jepun yang menghuni ranking ke-45 dunia, Koo Takahashi, 21-19, 22-20 dalam masa 54 minit.
Beliau akan berdepan pemain Jepun yang menghuni ranking ke-13 dunia, Kenta Nishimoto, dalam kejohanan berstatus Super 750 itu.
Jun Hao yang merupakan pemain ranking ke-26 dunia, sebelum ini tewas di pusingan pertama dalam empat daripada lima kejohanan Jelajah Dunia terakhirnya.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Justin Hoh, gagal mara selepas tewas kepada Yushi Tanaka dari Jepun, 7-21, 13-21 dalam masa 31 minit.
Pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei, turut berjaya mara ke pusingan kedua kejohanan Jelajah Dunia dalam percubaan kelapannya.
Pemain ranking ke-47 dunia itu menewaskan pemain Taiwan yang menghuni ranking ke-35 dunia, Pai Yu-po, 21-18, 21-12 dalam masa 34 minit.
Ini kali pertama Jin Wei mara ke pusingan kedua kejohanan Jelajah Dunia sejak Malaysia Masters tahun lalu.
Kemenangan itu membolehkan Jin Wei berdepan pilihan kedua kejohanan, Supanida Katethong dari Thailand, yang menghuni ranking kelapan dunia di pusingan kedua.
Pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, turut mara selepas menewaskan Chen Zhi-ray-Yang Chin-tun.
Soon Huat-Shevon Lai, selaku pilihan pertama, menewaskan pasangan Taiwan itu dengan keputusan 21-8, 21-18 dan akan berdepan wakil Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat di pusingan kedua.
Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut mara selepas menewaskan Leong Iok Chong-Ng Wei Chi dari Macau dengan keputusan 21-14, 21-10 dalam masa 27 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
