Sri Pahang, Kedah masih belum terkubur

KELAB Sri Pahang dan Kedah Darul Aman (KDA FC) masih mempunyai ruang untuk kekal bersaing dalam saingan Liga Malaysia musim depan sekiranya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi sebelum tamat tempoh memohon Lesen Kebangsaan pada hujung bulan depan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, persoalan sama ada Sri Pahang dan Kedah dapat beraksi musim depan atau tidak hanya boleh diputuskan selepas semua dokumen mengenai permohonan Lesen Kebangsaan dihantar.
"Semua kelab ketika ini dalam proses untuk melengkapkan pelesenan kelab. Kita ada dua pelesenan kelab yang menjadi keutamaan iaitu di peringkat AFC yang akan berakhir pada 31 Mac dan Lesen Kebangsaan berakhir pada 30 April.
"Jadi sebarang perkara melibatkan struktur hanya akan diketahui selepas 30 April dan selepas First Instance Body (FIB) membuat mesyuarat dan memutuskan kelab mana yang berjaya lulus untuk bermain pada liga tahun depan," katanya ketika majlis berbuka puasa MFL bersama media pada Isnin.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor yang juga Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail mendedahkan, Sri Pahang berkemungkinan besar dibubarkan musim depan selepas beberapa masalah membelenggu kelab itu selain Kedah mungkin tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super.
Namun, perkara itu dinafikan Kedah yang menyatakan bahawa mereka masih mencari cara untuk kekal beraksi musim depan, manakala Sri Pahang pula masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Mohd Shazli berkata, MFL tidak menidakkan kenyataan dibuat Tunku Mahkota Ismail itu namun percaya setiap pasukan masih cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah mereka dan bersaing dalam Liga Super musim depan.
"Sekretariat sentiasa berkomunikasi dengan kelab. Kita mengakui kelab ada masalah kewangan. Namun, dalam tempoh sebulan lebih ini kita kerap berhubung dengan kelab untuk memastikan mereka dapat memenuhi dokumen yang perlu dimuat naik dalam sistem.
"Tapi, saya optimis bahawa mana-mana pasukan yang sedia ada mampu komited dengan pelesenan kelab. Kesemua 13 pasukan masih positif untuk terus kekal berada di Liga Malaysia.
"Setakat ini perjumpaan dan sesi pertemuan nampaknya sangat positif. Dalam tempoh sebulan lebih ini kelab-kelab harus bekerja keras untuk memastikan perkara-perkara melibatkan pelesenan dapat dipenuhi sebelum berakhir 30 April," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!