Pejalan kaki maut, terpelanting dirempuh pacuan empat roda

KOTA KINABALU - Seorang pejalan kaki maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika sedang melintas jalan di Jalan Lintas berhampiran Iramanis di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 petang itu, lelaki berusia 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an dan seorang pejalan kaki.
"Dalam kejadian itu, kenderaan tersebut datang daripada arah Kolombong menghala ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
"Sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba seorang pejalan kaki bertindak menyeberang jalan dari arah kiri ke kanan jalan dan telah menyebabkan pemandu tersebut tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar lelaki berkenaan.
"Akibat kejadian itu, pejalan kaki tersebut terpelanting dan tercampak ke hadapan lalu jatuh di atas jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, akibat kejadian itu juga mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.
"Sementara itu, pemandu mengadu mengalami sakit di bahagian dada dan segera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk rawatan lanjut.
"Hasil siasatan seterusnya mendapati kejadian disebabkan pejalan kaki yang cuai ketika melintas jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku.
"Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
