Tiada unsur jenayah, mangsa terbabas dalam perjalanan ke tempat kerja

KAMPAR - Polis mengesahkan kematian seorang lelaki yang ditemui dalam longkang selepas hilang sejak Khamis lalu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal telah terbabas sendiri ketika melalui kawasan itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Ipoh.
Menurutnya, nahas tersebut tidak disedari orang ramai kerana semasa kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan keluar dari kediamannya selepas subuh.
“Kawan mangsa menyedari bahawa mangsa tidak datang ke tempat kerja selama tiga hari.

"Bimbang sesuatu berlaku, rakan terbabit membuat pencarian sehinggalah menemui mangsa di tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian.
Mangsa dikenali sebagai Izrul Husin, 42, ditemui dalam keadaan tersangkut di dalam longkang sedalam 1.2 meter bersama sebuah motosikal jenis SYM.
Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar.
Mohamad Nazri berkata, polis menerima maklumat kejadian itu pada jam 12.40 tengah malam di Kilometer 39.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala, manakala motosikalnya rosak keseluruhan di bahagian hadapan dan belakang.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

