Guan Eng sedia segala kemungkinan

SHAH ALAM - Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng membuat kenyataan terbuka bahawa beliau bersedia untuk segala kemungkinan dalam persaingan mengekalkan jawatannya dalam pemilihan kali ini.
Dalam ucapan aluannya, Guan Eng memberitahu bahawa menang atau kalah adalah perkara biasa dalam mana-mana pertandingan.
“Kongres tahun ini telah menarik banyak perhatian media kerana kepimpinan baharu akan dipilih.
“Menang atau kalah adalah perkara biasa dalam mana-mana pertandingan dan kita mesti meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan perwakilan,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18 yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Ahad.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang
Kongres DAP ke-18 menjadi tumpuan ramai kerana 4,203 perwakilan daripada 1,650 akan melaksanakan tanggungjawab untuk memilih 30 Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
Seramai 65 calon akan bertanding bagi jawatan dalam jawatankuasa berkenaan daripada 70 yang tersenarai pada awalnya, setelah lima calon iaitu Phee Syn Tze, Datuk Soon Lip Chee, Kalidas Komarawelo, Kaliyappan Renganathan dan Nicole Tan Lee Koon menarik diri daripada pencalonan mereka pada Sabtu.
Tambah Guan Eng, kongres kali ini menyaksikan kehadiran terbesar dalam sejarah DAP selama 59 tahun untuk memilih kepimpinan baharu untuk parti dan negara.
“Terdapat begitu ramai perwakilan sehingga buat pertama kalinya, ahli pemerhati tidak dibenarkan masuk.
“Terima kasih kepada semua ahli dan kakitangan Ibu Pejabat DAP yang berjaya menganjurkan Kongres Nasional ke-18 hari ini.
“Transformasi DAP daripada parti pembangkang pinggiran kepada rakan yang berkuasa dalam kerajaan Persekutuan dan negeri adalah bukti ketabahan, keberanian dan ketabahan pemimpin veteran kita,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan perwakilan bahawa kejayaan DAP kini adalah kerana mereka melakukan perkara yang betul untuk Malaysia serta semangat juang yang tidak pernah padam.
“Selagi ahli DAP berdiri bersama dalam menegakkan prinsip dan cita-cita kita, kita tidak akan dikalahkan oleh pihak lawan,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
