Pelancong China kritikal jatuh dari kereta api di Sri Lanka

Gelagat pelancong berswafoto di luar kereta api menyebabkan kepala terhantuk di terowong di Sri Lanka. Foto Agensi
Gelagat pelancong berswafoto di luar kereta api menyebabkan kepala terhantuk di terowong di Sri Lanka. Foto Agensi
A
A
A

COLOMBO – Seorang pelancong kritikal selepas terjatuh dari kereta api ketika cuba bergambar dengan aksi berbahaya di Sri Lanka, dalam kejadian terbaharu melibatkan trend media sosial yang semakin membimbangkan.

Mangsa, seorang wanita warga China berusia 35 tahun, mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki selepas kepalanya terhantuk pada dinding terowong sebelum terjatuh dari kereta api yang sedang bergerak.

Insiden itu berlaku pada Ahad ketika mangsa dalam perjalanan dari Nanuoya ke Badulla, ibu kota Wilayah Uva yang terletak di kawasan perbukitan tengah negara itu.

South China Morning Post melaporkan, mangsa dikejarkan ke Hospital Wilayah Haputale sebelum dipindahkan ke dua hospital lain bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan khas.

Sementara itu, Kedutaan China di Sri Lanka dalam satu kenyataan pada Isnin menggesa pelancong agar tidak bersandar di pintu kereta api atau bergambar dalam keadaan berbahaya.

Sebelum ini, beberapa insiden serupa telah dilaporkan di negara itu. Pada Februari lalu, seorang wanita Rusia berusia 53 tahun dilaporkan maut selepas terjatuh ketika bergambar dari kereta api yang sedang bergerak.

Pada Disember, seorang lagi pelancong wanita dari China cedera ringan selepas terhantuk pada pokok ketika separuh badannya terjulur keluar dari kereta api.

Pihak berkuasa mengingatkan pelancong agar lebih berhati-hati dan tidak mempertaruhkan nyawa demi mendapatkan gambar sempurna untuk media sosial. – Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!