X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka tangguh sidang DUN

Adly ketika sidang media selepas Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara di Ayer Keroh hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 11 Mac depan ditangguhkan berikutan ketidaktentuan situasi politik dalam negara ketika ini.

Ketua Menterinya, Adly Zahari memaklumkan, tarikh sidang DUN baharu akan ditetapkan kemudian.

"Kita mengambil sedikit masa untuk memastikan kestabilan politik dapat dilakukan. Ada beberapa tempoh, jadi kita akan pastikan penangguhan itu tidak melebihi tempoh yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata, penangguhan sidang DUN yang pertama pada tahun ini terpaksa dilakukan dengan mengambil kira ketidaktentuan politik yang sedang berlaku sekali gus bagi memastikan kestabilan politik di negeri tersebut.

Mengulas berhubung spekulasi Barisan Nasional (BN) Melaka mampu meraih sokongan majoriti, Adly berkata, apa jua dilakukan BN perlu mengikut Perlembagaan negeri.

"Sekiranya mereka mendapat majoriti cukup, ia perlu mengikut undang-undang dan BN perlu berjumpa dengan Yang Dipertua Negeri untuk mendapat perkenan.

"Setakat ini kesemua Exco yang terlibat dalam pentadbiran menjalankan tugas masing-masing memandangkan Pakatan Harapan masih berstatus quo sebagai kerajaan negeri," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus