Penduduk gempar jumpa mayat terapung di lombong
HULU SELANGOR – Penduduk sekitar Serendah gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang terapung di sebuah lombong di belakang klinik kesihatan di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada sekitar jam 9 pagi.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki, namun identiti, umur dan bangsanya masih belum dapat dipastikan.
"Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di permukaan air dengan hanya memakai seluar dalam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, pemeriksaan tubuh badan mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan luaran, tanda-tanda pergaduhan atau pergelutan.
"Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai telah lemas di lombong tersebut kira-kira empat hingga lima hari sebelum ditemui.
"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian," katanya.
Ahmad Faizal berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (Sudden Death Report, SDR).
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Hazwan Ismail di talian 03-60811222 atau 013-2908206 serta mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

