Simeone kecewa Atletico lepas peluang di Getafe

Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila impian pasukannya untuk mendaki puncak takhta La Liga berkecai di tangan Genafe.
Kekalahan 2-1 di Coliseum Alfonso Pérez pada Ahad bukan sahaja meranapkan peluang Colchoneros untuk memimpin liga, malah mendedahkan kelemahan pasukan.
Walaupun Alexander Sorloth memberikan Atletico kelebihan menerusi sepakan penalti pada minit ke-75, namun kad merah yang diterima Angel Correa pada minit ke-88 mengubah segalanya.
Getafe memanfaatkan kelebihan pemain dan melancarkan serangan kilat di penghujung perlawanan dengan Mario Arambarri muncul wira menerusi dua gol pantas membenam Atletico.
“Sejujurnya perlawanan ini tidak menawarkan apa-apa yang menarik, sebaliknya persembahan yang sangat buruk.
“Dari sudut taktikal, kedua-dua pasukan mencari apa yang sesuai untuk mereka. Kami tidak menemui apa yang kami cari, tetapi kami mendapat penalti, kemudian Angel (Correa) dibuang padang dan semuanya musnah,” luah Simeone.
Keputusan di Getafe menyaksikan Atletico kekal di kedudukan ketiga dengan 56 mata mengekori Real Madrid di kedudukan kedua (57 mata) manakala Barcelona yang kurang satu perlawanan kekal di puncak La Liga dengan 57 mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
