Praba berkawan dengan semua kaum

Praba (dua dari kanan) hanya satu-satunya anggota berketurunan India di APMM Terengganu.
Praba (dua dari kanan) hanya satu-satunya anggota berketurunan India di APMM Terengganu.
A
A
A

Fahami serta hormati agama dan budaya kaum lain merupakan prinsip perpaduan yang dipegang dan dipraktikkan oleh Leftenan Madya Maritim Pirabagar Raman.

Pirabagar yang mesra dengan panggilan Praba mengakui dengan berpegang pada dua prinsip perpaduan itu membolehkannya selesa bergaul dengan siapa sahaja dalam suasana masyarakat berbilang agama dan budaya hari ini.

Beliau yang sudah enam tahun berkhidmat sebagai anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yakin jika semua rakyat negara ini mengamalkan dua teras perpaduan tersebut, keharmonian dalam kemajmukan pasti dapat terus dinikmati.

“Macam saya hari ini, walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga dan setiap hari dikelilingi pelbagai kaum terutama Melayu beragama Islam kerana saya tinggal di kawasan perumahan majoritinya orang Melayu tetapi tidak pernah berasa bersendirian.

“Malah di tempat kerja pula, saya seorang sahaja orang India di sini tetapi suasana itu langsung tidak menimbulkan masalah.

Praba (dua dari kanan) berjiran dengan orang Melayu.
Praba (dua dari kanan) berjiran dengan orang Melayu.

“Saya tidak pernah rasa terasing atau dipulaukan kerana kami di sini menghormati agama dan memahami budaya masing-masing,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Bapa kepada seorang anak ini berkata, walaupun perlu tinggal di negeri ini yang majoriti didiami masyarakat Islam tetapi dia yang menganut agama Hindu masih mendapat layanan yang sama.

“Meskipun masyarakat bukan Islam di sini hanya sekitar tiga peratus tetapi saya lihat mereka masih bebas menyambut apa jua perayaan dan kepercayaan agama masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Masyarakat di sini saling memahami dan menghormati agama serta budaya bangsa lain.

“Malah mereka bekerjasama dengan baik untuk memberi peluang dan ruang bagi sesuatu kaum merayakan setiap perayaan bersama,” ujarnya.

Praba bersama isteri, Chithra dan anak mereka, Tosikha.
Praba bersama isteri, Chithra dan anak mereka, Tosikha.

Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 32 tahun ini berkata, sebagai masyarakat bertamadun, semua pihak tidak sewajarnya membiarkan konflik agama dan budaya timbul atau berulang kerana akan memberi kesan kepada masyarakat beragama dan generasi akan datang.

PROFIL

Nama: Leftenan Madya Maritim Pirabagar Raman

Umur: 32 tahun

Asal: Pulau Pinang

Jawatan: Pegawai Seksyen Operasi APMM Terengganu