Jangan biar perbezaan kaum, agama jadi punca perpecahan - Murugiah

Beliau berkata, Malaysia ialah negara unik yang dibina atas kepelbagaian kaum, budaya serta agama dan kepelbagaian bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan yang menjadikan negara harmoni dan progresif.
"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memastikan perpaduan kaum terus diperkukuh demi masa depan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, semua pihak harus mengambil pendekatan lebih matang dengan menghormati kepercayaan dan budaya masing-masing.
"Sikap toleransi, hormat-menghormati dan memahami antara satu sama lain adalah kunci utama dalam membina sebuah masyarakat yang bersatu padu,” katanya.
Naib Presiden MIC itu berkata, rakyat harus menolak segala bentuk provokasi yang boleh menggugat perpaduan, sama ada di media sosial, tempat kerja atau kehidupan seharian dan isu ketegangan kaum perlu ditangani dengan bijaksana melalui dialog terbuka dan berhemah.
Beliau turut menyeru rakyat agar lebih fokus kepada pembangunan negara termasuk dalam aspek pendidikan, ekonomi, dan kebajikan sosial.
"Marilah kita bekerjasama dalam membentuk sebuah negara lebih maju dan makmur tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
"Semoga semangat perpaduan ini terus dipelihara dan menjadi warisan yang berharga untuk generasi akan datang,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
