Dakwa ikut arahan bos, pemandu lori tiada cukai jalan

KLANG - Tindakan 'berani mati' lelaki memandu lori tanpa lesen dan cukai jalan menjerat diri selepas ditahan di Jalan Paip, di sini, Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, pemandu berusia 47 tahun itu ditahan pihaknya semasa Op Khas Gempur Teknikal.
Katanya, pemeriksaan ke atas lori tanpa muatan itu mengesan kesalahan gagal selenggara tayar, ubah suai bentuk dan peralatan kenderaan, tidak selenggara kenderaan, memasang pelekat cermin hadapan melebihi 20 peratus serta nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi.
"Selain itu, semakan juga mendapati pemandu terbabit tidak mempunyai lesen memandu kompeten (CDL) serta lesen kenderaan barangan (GDL).
"Lesen kenderaan motor (LKM) lori terbabit juga didapati tamat tempoh," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, ketika hendak ditahan, pemandu terbabit juga dipercayai cuba mengelak dengan cuba memasuki laluan lain.
Tambahnya, soal siasat awal pemandu itu mendakwa diarah majikannya untuk memandu lori berkenaan biar pun menyedari tiada lesen memandu serta cukai jalan.
"JPJ Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
"Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
