'Kalau jual 300 keping martabak sehari masih untung'

ALOR SETAR - Seorang peniaga martabak di sini rela menyerap kenaikan harga barang asas bagi memastikan juadah tersebut dapat dijual pada harga RM5 sekeping.
Zulkifli Shaari, 50, berkata, berusaha untuk mengekalkan harga tersebut sejak beberapa tahun lalu seperti yang dijualnya di beberapa pasar malam di sekitar daerah Kota Setar dan Yan.
Menurutnya, sekiranya berjaya menjual martabak antara 300 hingga 400 keping sehari, ia mampu menyerap kenaikan harga barang asas tersebut.
“Saya tidak boleh jual martabak pada harga mahal walaupun harga barang-barang asas untuk membuatnya sudah naik.
“Saya cuba serap sebaik mungkin kerana bila jual harga mahal takut pelanggan lari, tidak mahu beli lagi,” katanya semasa ditemui di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, di sini.
Jelas pemilik perniagaan Shakir Murtabak Berkuah ini, banyak faktor lain yang turut mempengaruhi harga makanan dijual antaranya sewa tapak bazar Ramadan selain kos membayar upah pekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

