Pencapaian Nor Farah membanggakan

Nor Farah (kiri) kini bergelar pemain nombor satu dunia. Foto Agensi
Nor Farah (kiri) kini bergelar pemain nombor satu dunia. Foto Agensi
A
A
A

STATUS jaguh boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah yang kini bergelar pemain nombor satu dunia merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

Perasaan tersebut dikongsi oleh ketua jurulatih skuad boling padang negara, Zuraidi Puteh yang turut gembira bahawa atlet berusia 24 tahun itu sudah mengharumkan nama Malaysia pada usia muda.

Beliau berkata, atlet itu konsisten dengan prestasinya selepas bergelar juara pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia tahun lalu.

"Perjalanan Nor Farah masih jauh, namun ini satu pencapaian yang amat positif dalam kariernya. Alhamdulillah syukur dengan pencapaian ini," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Berdasarkan kemas kini ranking dunia wanita di World Bowls Series, Nor Farah menghuni kedudukan teratas apabila mengumpul 723 mata.

Pemain dari Scotland, Julie Forest berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 683 mata manakala Kelsey Cottrell dari Australia berada di tangga ketiga dengan 676 mata.

Zuraidi menjelaskan bahawa Nor Farah bakal melalui cabaran yang lebih besar untuk mengekalkan statusnya, namun diharap ia bukan menjadi satu beban buatnya.

Justeru beliau berkata, Program Podium diharap dapat membantu atlet itu lebih bersedia daripada aspek mental dan psikologi untuk mengharungi lebih banyak kejohanan selepas ini.

"Nor Farah akan menyertai program itu mulai 1 April ini. Menerusi bantuan sains sukan termasuk nutrisi dan psikologi diharap dapat membantunya untuk menangani sebarang tekanan.

Artikel Berkaitan:

"Sudah pasti apabila bergelar nombor satu dunia, para peminat mengharapkan lebih banyak kejayaan dari Nor Farah, namun saya percaya dengan sokongan semua pihak, dia dapat melalui proses itu dengan baik dan matang," kata jurulatih lelaki kebangsaan terbaik 2023 itu.

Nama Nor Farah mencuri perhatian selepas dia berjaya melakar sejarah dengan meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lepas.

Nor Farah turut memberi sumbangan besar kepada skuad negara apabila membantu meraih pingat gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple.

Izzat Shameer turut menyumbang pingat perak dalam acara individu lelaki.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!