UMPSA Advanced, Al-Furqan Solutions perkasa bahasa Arab melalui MyCredential

KUALA LUMPUR - UMPSA Advanced dan Al-Furqan Solutions mengukuhkan kerjasama strategik bagi memperkasakan pembelajaran bahasa Arab melalui platform MyCredential.
Kerjasama strategik ini menampilkan gabungan sistem pembelajaran dan juga teknik pembelajaran inovatif yang dirangka khas bagi memudahkan pemahaman dan penghayatan bahasa Arab terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu bagi menghayati Al-Quran.
Pengasas Al-Furqan Solutions, Nasaruddin Hasim, berkata, inisiatif tersebut mampu mengubah persepsi bahawa mempelajari Bahasa Arab itu sukar.
“Belajarlah dan fahamilah bahasa Arab, ia dapat membantu kita menghayati setiap bait-bait kalimah yang kita lafazkan ketika solat dan rasa lebih dekat dengan Allah,”katanya di sini, hari ini.
Teknik pembelajaran bahasa Arab Al-Furqan yang telah dibangunkan sejak 25 tahun lalu itu mengetengahkan pendekatan unik tanpa memerlukan teknik hafalan teknikal yang lama.
Sebaliknya, ia menggunakan teknik diagram yang interaktif dan kamus yang direka khas oleh Al-Furqan bagi membantu pelajar memahami setiap bait kalimah Al-Quran dengan lebih berkesan tanpa membebankan pelajar untuk menghafal.
Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr. Ahmad Johari Mohamad, berkata, sistem MyCredential yang berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) membolehkan sesiapa sahaja, tanpa mengira usia, mengakses kandungan pembelajaran secara dalam talian.
Menurutnya, pendekatan tersebut berbeza daripada kaedah konvensional kerana ia menawarkan fleksibiliti dalam pembelajaran mengikut peringkat.
"Keunikan kerjasama ini bukan sahaja memperkenalkan teknik baharu untuk memahami bahasa Arab, tetapi juga membolehkan pelajar memperoleh sijil yang diiktiraf melalui modul-modul pembelajaran daripada Al-Furqan,"katanya.
Sistem MyCredential dibangunkan UMPSA Advanced telah menyediakan ekosistem menyeluruh untuk aplikasi pembelajaran secara terbuka (open learning), termasuk sistem pembelajaran, pengurusan pengajaran dan pembelajaran, serta pengurusan penilaian pelajar dari pendaftaran hingga tamat kursus melalui sijil pengiktirafan secara digital.
Menurutnya, dengan gabungan kepakaran Al-Furqan Solutions dan teknologi pendidikan digital UMPSA Advanced, daya usaha ini diyakini mampu membawa perubahan dinamik dalam memperkasakan pembelajaran bahasa Arab dengan pendekatan inovatif serta teknologi moden yang membantu lebih ramai pelajar memahami dan menghayati Al-Quran dengan lebih mudah.
Orang ramai boleh melayari sistem MyCredential untuk mendaftar dengan mudah pada laman sesawang MyCredential di https://mycredential-b.com/CredB/index.php
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
