Empat termasuk seorang wanita curi kabel dicekup

ALOR GAJAH - Empat rakan yang meraih pendapatan dengan kegiatan mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) sejak dua bulan lalu dicekup polis pada Khamis lalu.
Kesemua suspek berusia 30 hingga 34 tahun ditahan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Alor Gajah di sebuah inap desa di Kuala Sungai Baru di sini kira-kira jam 2 petang.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, penahanan kesemua suspek sekali gus berjaya mematahkan sindiket itu dengan nilai rampasan kira-kira RM120,000 termasuk dua buah kenderaan yang digunakan bagi melakukan jenayah tersebut.
Menurutnya, modus operandi kumpulan sindiket itu dengan menyewa inap desa dan kereta bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain dipercayai melakukan kegiatan mencuri kabel sekitar jam 12 tengah malam hingga jam 6 pagi sekitar negeri ini.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek berasal dari Lembah Klang itu akan memilih lokasi tersorok dan tidak dilalui orang ramai sebelum bertindak mencuri kabel pada tengah malam hingga awal pagi.
"Hasil soal siasat mereka mengaku terlibat dengan enam kes kecurian kabel di sekitar Alor Gajah dan dua kes di Selangor," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini pada Selasa.

Ujarnya, turut dirampas dalam serbuan itu gelung kabel, alat pemotong, dua buah kereta, telefon pintar pelbagai jenama dan satu paket plastik lutsinar berwarna kelabu mengandungi batu kristal disyaki dadah jenis syabu.
Katanya, kesemua suspek juga memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, malah saringan ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
"Kesemua mereka kini direman enam hari bagi membantu siasatan dan polis percaya masih ada saki baki ahli sindiket ini yang masih bebas," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379 KK dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

