Amirudin pertimbang bertanding Timbalan Presiden PKR

MELAKA - Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari mengakui ada cadangan agar beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, keputusan rasmi sama ada akan bertanding bagi jawatan itu ataupun mempertahankan jawatan sedia ada akan diumumkan selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Menurutnya, ketika ini apa yang menjadi keutamaannya adalah untuk memperkukuh parti dalam Kerajaan Perpaduan sekali gus terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri.
"Saya cenderung untuk mempertahankan jawatan naib presiden, namun ada permintaan dari beberapa pihak supaya saya bertanding di peringkat lain.
"Apa pun saya perlu berbincang dengan penyokong sebelum membuat keputusan muktamad," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Keadilan Melaka 2025 di Ayer Keroh di sini pada malam Khamis.
Dalam pada itu, Amirudin berkata perkara itu perlu mendapat pandangan Anwar Ibrahim kerana bimbang sekiranya terdapat pertarungan yang terlalu sengit di pelbagai peringkat, ia mungkin akan menimbulkan perbalahan.
"Walaupun kita ada hak demokrasi masing-masing, namun ia terpulang kepada mereka (pemilihan).
"Jadi hal ini yang menjadi pertimbangan paling serius dalam saya membuat keputusan tersebut, esok saya akan maklumkan," ujarnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berlangsung pada 24 Mei ini.
Pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

