FESTIRA 2025 kembali lagi

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi anak syarikatnya PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) memeriahkan Ramadan kali ini dengan menganjurkan program pilihan rakyat iaitu Festival Ramadan Selangor (FESTIRA 2025) edisi ke sebelas selama 48 hari bermula 11 Februari sehingga 30 Mac 2025.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, FESTIRA 2025 akan dianjurkan di beberapa lokasi seperti Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall, Kompleks PKNS Bangi dan Plaza Alam Sentral.
Menurut beliau yang juga merupakan pencetus idea FESTIRA berkata, program tersebut bakal menghimpunkan lebih kurang 1,500 usahawan dalam pelbagai produk termasuk pakaian fabrik.
“Ia telah menjadi sebahagian daripada tradisi terutamanya pada bulan Ramadan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri. Saya juga percaya kita mempunyai pengikut yang bukan sahaja pengusaha kedai tetapi suasana dalam PKNS itu sendiri.
“FESTIRA 2025 ini bukan sekadar kita sambut perayaan atau buat persiapan, tetapi menjadi satu platform meningkatkan pencapaian ekonomi dalam kalangan pengusaha,” katanya ketika melancarkan Majlis Perasmian FESTIRA 2025 di SACC Mall, Shah Alam di sini pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon; Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani dan Pengurus Besar, Hartanah & Fasiliti PREC, Yusri Abdul Manaf.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, pendapatan daripada festival tersebut dapat meningkatkan faktor ekonomi.
“Malahan kita akan dapat lihat juga trend atau juga kaedah, cara pembayaran dan cara penggunaan kewangan rakyat serta itu boleh dijadikan ukuran dalam beberapa polisi negeri pada masa hadapan.
“Terima kasih banyak-banyak, kita dah sampai ke tahun yang ke sebelas dan kita akan teruskan, sampai kreatif industri betul-betul berkembang serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi hari ini serta masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, FESTIRA 2025 mendapat sokongan daripada pihak Tourism Selangor dan jalinan kerjasama strategik itu dapat dilihat menyemarakkan lagi Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025) dalam memperkukuh kedudukan aset Kumpulan PKNS sebagai destinasi pelancongan utama negeri.
Jelasnya, selaras dengan TMS 2025, kerjasama itu merupakan langkah tepat yang dapat membantu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke festival Ramadan berkenaan.
“FESTIRA tahun ini turut menyaksikan kolaborasi buat pertama kalinya dengan beberapa badan dan agensi kerajaan negeri serta korporat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) serta Bateriku.com.
“Jalinan kerjasama ini membantu memberikan fokus kepada pengisian aktiviti sepanjang FESTIRA 2025 berlangsung dan menjadikan festival ikonik lebih dekat dengan masyarakat,” tambah beliau.
Berkonsepkan Cahaya Neon Raya, pengunjung FESTIRA 2025 turut berpeluang untuk memenangi sebuah motosikal elektrik dan pelbagai hadiah menarik sempena kempen Cabutan Bertuah Beli, Imbas dan Menang.
FESTIRA 2025 turut menyediakan banyak tempat jualan makanan dan minuman bagi memudahkan pengunjung untuk berbuka puasa di bazar Ramadan di Komplek PKNS Shah Alam yang menempatkan lebih daripada 130 buah gerai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
