Kafe vintaj di Felda Jengka 11

A
A
A

JENGKA - Minat mendalam terhadap barangan klasik mendorong pasangan suami isteri merealisasikan impian mereka dengan membuka sebuah kafe unik yang dihiasi pelbagai koleksi vintaj di Felda Jengka 11 di sini sejak 2022.

Pasangan tersebut, Azizan Che Mi, 49, dan isterinya, Nor Eda Khairi, 48, berkata, kebanyakan barangan adalah hasil pencarian mereka dari pasar lambak, lelongan serta koleksi peribadi yang dikumpulkan sejak bertahun-tahun.

Suasana unik dan mengimbau memori silam di kafe tersebut.
Suasana unik dan mengimbau memori silam di kafe tersebut.

Kini kafe yang diberi nama Azieda Talam Kopi mula menjadi tumpuan orang ramai dan penduduk sekitar yang tertarik melihat pelbagai koleksi lama seperti televisyen rangka kayu, monogram, mesin taip, majalah, kaset, basikal, radio, penutup botol serta tin minuman terkenal.

Malah, terdapat juga pondok telefon di depan kafe itu yang kini jarang dapat dilihat kebanyakan generasi muda.

Ujar Azizan, nama kafe itu hasil gabungan nama bersama isterinya yang berkongsi minat sama.

Azizan dan Nor Eda bersama basikal model Raleigh yang dipamerkan di kafe itu.
Azizan dan Nor Eda bersama basikal model Raleigh yang dipamerkan di kafe itu.

“Kami telah menghabiskan kira-kira RM100,000 untuk kafe dan RM30,000 bagi mengumpul koleksi sedia ada setakat ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya dan isteri mencari barangan antik kegemaran masing-masing di pelbagai negeri, dan menempatkan semua koleksi yang ada di kafe ini untuk tatapan peminat serta orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Azizan bersama monogram yang turut menjadi antara koleksi antik di kafe tersebut.
Azizan bersama monogram yang turut menjadi antara koleksi antik di kafe tersebut.

Menurutnya, buat masa ini mereka berhasrat untuk beroperasi sepenuhnya sebagai kafe selepas Aidilfitri atau pada tahun depan.

“Itu antara perancangan kami jika tiada aral melintang dan mungkin juga kami akan jadikan kafe ini lokasi pengantin baharu bergambar dengan mengenakan caj berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Nor Eda berkata, idea mewujudkan kafe itu selepas bilik sedia ada sudah padat dan tiada tempat untuk menyimpan koleksi sedia ada.

Radio, bekas makanan dan termos lama yang menjadi koleksi pasangan suami isteri terbabit.
Radio, bekas makanan dan termos lama yang menjadi koleksi pasangan suami isteri terbabit.

“Saya dan suami telah ubah suai kafe dua tingkat ini. Kami menempatkan semua koleksi sedia ada di sini, sekali gus dapat memberikan peluang kepada penggemarnya melihat sendiri di depan mata.

“Kami mahu menghidupkan kembali nostalgia lama. Mereka yang datang ke sini memang teruja melihat barang-barang lama yang pernah mereka gunakan suatu ketika dahulu,” ujarnya, sambil menambah anak lelaki berusia 23 tahun turut meminati hobi sama.

Antara koleksi vintaj yang ada di kafe tersebut.
Antara koleksi vintaj yang ada di kafe tersebut.

Tambahnya, antara koleksi ke-sayangannya ialah basikal Raleigh yang merupakan barangan pertama dibelinya ketika muda.

Dalam pada itu, Nor Eda turut berharap, kafe mereka itu akan menjadi ruang untuk berkongsi minat terhadap warisan klasik kepada generasi muda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!