Dividen tinggi pengaruhi pencarum

SHAH ALAM - Kadar dividen lebih tinggi yang dijangka diumumkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mempengaruhi keputusan pencarum dalam menguruskan simpanan atau pengeluaran mereka.
Ahli Ekonomi Utama, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE, Muhamad Zharif Luqman Hashim berkata, pencarum yang mengutamakan pulangan jangka panjang mungkin memilih untuk mengekalkan simpanan mereka agar terus menikmati kesan faedah kompaun.
Bagaimanapun beliau berpandangan, bagi golongan yang berdepan dengan tekanan kewangan, dividen tinggi mungkin tidak cukup untuk menghalang mereka daripada membuat pengeluaran jika dibenarkan.
“Hakikatnya, sebahagian besar pencarum masih tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan walaupun KWSP mencatatkan prestasi baik.
“Perkara ini menyebabkan mereka terpaksa memilih mengekalkan simpanan atau memenuhi keperluan kewangan semasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, prestasi memberangsangkan KWSP pada suku ketiga 2024 dijangka memberi pulangan dividen yang baik kepada pencarum.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024 itu, pencarum boleh mengharapkan berita gembira berkaitan agihan dividen yang lebih baik berbanding 2023.
KWSP dijangka mengumumkan kadar dividen 2024 pada awal Mac ini dengan kenaikan melebihi enam peratus berdasarkan jangkaan pakar ekonomi dan akademik.
Muhamad Zharif berkata, kebanyakan pencarum golongan B40 dan M40 yang menghadapi tekanan kewangan masih mempertimbangkan pengeluaran berdasarkan trend pengeluaran khas sebelum ini.
“Ini kerana kebanyakan pencarum tidak mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi dan melihat KWSP sebagai tabung kecemasan walaupun ia bertujuan untuk persaraan.
“Selain itu, sebahagian pencarum mungkin akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan wang bagi tujuan pelaburan dengan harapan mendapat pulangan lebih tinggi berbanding dividen KWSP,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
