Ne Zha 2 kejutkan Hollywood, pecah rekod animasi dunia

BEIJING - Industri filem China sekali lagi mencipta kejutan di peringkat global apabila filem animasi Ne Zha 2 berjaya memecahkan rekod sebagai filem animasi paling laris sepanjang zaman, mengatasi filem-filem keluaran Hollywood yang sebelum ini mendominasi pasaran.
Sejak ditayangkan pada 29 Januari lalu, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Ne Zha 2 telah meraih kutipan lebih daripada AS$1.7 bilion (RM7.5 bilion).
Kejayaan ini menjadikannya filem animasi paling berjaya dalam sejarah, mengatasi filem Disney The Lion King (2019) yang memperoleh AS$1.66 bilion (RM7.3 bilion) dan Frozen II (2019) yang meraih AS$1.45 bilion (RM6.44 bilion).
Kejayaan Ne Zha 2 bukan sahaja mencerminkan kemajuan industri animasi China, malah turut membuktikan bahawa produksi bukan Hollywood mampu menarik minat penonton di seluruh dunia.
Filem ini menjadi satu kebanggaan nasional apabila pelbagai syarikat di China mengadakan tayangan khas dan memberikan subsidi tiket kepada pekerja mereka sebagai tanda sokongan terhadap produksi tempatan.
Filem ini adalah sekuel kepada Ne Zha (2019), yang sebelum ini mencatat kutipan sekitar AS$725 juta (RM3.2 bilion).
Sekuel ini mempersembahkan jalan cerita yang lebih mendalam dan aksi yang lebih mengagumkan, dengan mengekalkan unsur mitologi Cina yang kuat.
Gabungan animasi berkualiti tinggi dan jalan cerita yang menyentuh perasaan menjadikan Ne Zha 2 sebagai filem yang mendapat sambutan yang luar biasa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

