Kerajaan Madani tak datang hanya pada 'hari besar' Sabah - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) merasmikan Penutup Program Sentuhan Kasih Desa@Tawau 2025 di Kompleks Sukan Tawau hari ini. Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi (tengah) merasmikan Penutup Program Sentuhan Kasih Desa@Tawau 2025 di Kompleks Sukan Tawau hari ini. Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan kerajaan bermusim yang hanya akan turun pada waktu pilihan raya berlangsung.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pemimpin kerajaan Madani akan sentiasa turun ke Sabah untuk membantu rakyat di negeri ini.

"Di Sabah, kita akan menyambut hari besar tidak lama lagi. Ini bukan soal sambutan tetapi kita mesti mengambil peduli kepada rakyat terutamanya kepada kumpulan B40 di negeri Sabah ini.

"Ini adalah merupakan komitmen kita. Jangan datang hanya bila ada musim yang datang lima tahun sekali, kerajaan Madani tetap akan turun, kerajaan Madani akan tetap membantu rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Sentuhan Kasih Desa Tawau 2025 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Kompleks Sukan Tawau pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri KKDW berkata, rakyat di negeri ini sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan tanpa melihat kepada musim termasuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Ada pilihan raya, tidak ada pilihan raya, kepedulian kepada rakyat akan diteruskan pada setiap masa kerana kita tidak harus menjadi sebuah kerajaan yang bermusim.

"Bila sampai musim buah, kita menjadi kelawar. Bila musim padi menguning, maka musim menuai telah sampai. Kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang mengambil kepedulian kepada rakyat tanpa mengira musim.

"Saya mengucapkan tahniah kepada yang amat berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil kepedulian kepada rakyat setiap masa tanpa mengira musim," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, rakyat harus bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Madani kerana kerajaan ini telah melakukan perubahan yang tidak dilakukan mana-mana kerajaan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!