Lelaki mengamuk, ugut ibu guna parang

TAWAU - Seorang lelaki tergamak mengugut ibunya menggunakan parang dalam kejadian amuk di Kampung Saddani, Batu 2 Jalan Apas, pada Rabu lalu.
Tindakan agresif lelaki berusia 33 tahun itu akhirnya membawa padah apabila ditahan polis pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan pada jam 3.40 petang sebaik menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
"Menurut laporan, suspek tiba-tiba mengamuk tanpa sebab yang jelas dan bertindak agresif mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap seorang wanita berusia 59 tahun yang juga ibunya.
"Ketika kejadian, suspek bertindak menumbuk dinding rumah sebelum mencapai sebilah parang dan mengancam mangsa dengan kata-kata ugutan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Jasmin berkata, susulan kejadian itu, mangsa yang berasa terancam segera membuat laporan polis.
"Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau berjaya menahan suspek tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Hasil semakan rekod, suspek mempunyai empat rekod berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya
Sehubungan itu, Jasmin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan orang lain.
"Polis menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kejadian jenayah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini terjamin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
