Perhilitan guna umpan itik tangkap 'sang bedal'

KUALA LUMPUR - Umpan daging itik digunakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menangkap seekor buaya di Sungai Klang berhampiran sebuah pusat beli-belah terkenal di ibu negara.
Pengarah Jabatan Perhilitan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ishak Muhamad berkata, operasi menangkap reptilia itu telah masuk hari ketiga.
"Satu perangkap telah diletakkan di lokasi terbabit.
"Umpan perangkap telah diubah daripada ayam kepada itik dan setakat semalam (Jumaat), kedudukan buaya dikesan berada kira-kira 200 meter dari perangkap ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, Perhilitan turut menggunakan dron untuk melihat kedudukan buaya berkenaan.
Pada Khamis, Jabatan Perhilitan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memasang perangkap untuk menangkap seekor buaya di sungai terbabit.
Perhilitan turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan tersebut sehingga buaya itu berjaya ditangkap dengan selamat.
Berdasarkan rakaman video yang tular sejak beberapa hari lepas, Jabatan Perhilitan mengesyaki ia adalah buaya yang sama yang baru-baru ini dilihat berhampiran Masjid Jamek.
Pada 8 Februari, kecoh di media sosial selepas tular menunjukkan seekor buaya di sungai berhampiran Masjid Jamek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
