Tak puas hati diminta cerai, lelaki cekik anak, ugut isteri

Suspek ditahan polis kerana bertindak mencederakan anak dan mengugut isterinya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Tawau.
Suspek ditahan polis kerana bertindak mencederakan anak dan mengugut isterinya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki bertindak agresif dengan mencekik anak dan mengugut mahu memukul isterinya selepas tidak berpuas hati dengan permohonan cerai yang dikemukakan wanita itu dalam kejadian di sebuah taman perumahan di daerah ini.

Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 40-an itu membawa padah apabila ditahan polis di sekitar bandar Tawau pada jam 2.20 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan itu susulan laporan yang dibuat mangsa yang juga seorang jurujual berusia 39 tahun.

"Suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan permohonan cerai dan tuntutan fasakh yang dibuat isterinya.

"Suspek sering mengganggu mangsa sejak permohonan itu dikemukakan dan dalam kejadian terbaharu suspek bertindak agresif dengan mencekik anak mereka sebelum mengugut mahu mencederakannya menyebabkan mangsa ketakutan lalu segera membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melakukan tangkapan terhadap suspek.

"Suspek merupakan warga asing dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 dan 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah," katanya.

Jasmin menegaskan, pihak polis memandang serius berkaitan kes keganasan rumah tangga yang berlaku di daerah ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan ahli keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!