Siasatan terhadap Zulkarnain Mahdar berdasarkan peruntukan undang-undang - Polis

KOTA KINABALU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa siasatan yang dijalankan oleh agensi itu adalah berdasarkan laporan polis namun keputusan kes di bawah bidang kuasa mahkamah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, setiap laporan polis yang diterima akan disiasat berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
"Siasatan dijalankan secara profesional dan telus bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan, bagaimanapun perlu ditegaskan bahawa keputusan terhadap sesuatu kes adalah di bawah bidang kuasa pihak mahkamah.
"PDRM hanya bertanggungjawab mengumpul bukti, menjalankan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, Kasim berkata, semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat berhubung proses siasatan dan perbicaraan sesuatu kes.
"PDRM sentiasa komited dalam menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara," tegasnya.
Baru-baru ini, Penasihat Perhimpunan Aman Himpunan Bangkit Sabahan, Datuk Zulkarnain Mahdar menyatakan kekesalannya apabila pihak polis mengambil tindakan terhadapnya berhubung isu penganjuran perhimpunan tersebut yang diadakan di Anjung Selera, Likas pada 31 Disember lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendakwa bakal diheret ke mahkamah berkaitan penganjuran perhimpunan tersebut yang diadakan di Anjung Selera, Likas pada 31 Disember lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
