Tidur dalam Masjidil Haram, kejar berkat Ramadan

Muhammad Fawwaz berkongsi tip dan perjalanan spiritualnya beriktikaf sepanjang di sana

UMRAH pada bulan Ramadan sering menjadi tumpuan umat Islam kerana kelebihan yang ada padanya. -Foto: CANVA
UMRAH pada bulan Ramadan sering menjadi tumpuan umat Islam kerana kelebihan yang ada padanya. -Foto: CANVA
A
A
A

TIADA katil empuk apalagi selimut, cukup sekadar beralaskan sejadah tebal untuk melepaskan kantuk dan lelah, tetapi hati penuh dengan ketenangan.

Bayangkan saat kebanyakan jemaah memilih hotel mewah berhampiran Kaabah untuk menunaikan umrah pada Ramadan, Muhammad Fawwaz Aminuddin, 42, pula mengambil keputusan untuk beriktikaf di dalam Masjidil Haram di Makkah.

Bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi baginya, itulah peluang terbaik untuk mengabdikan diri dalam beribadah tanpa gangguan lebih-lebih pada 10 malam terakhir Ramadan.

“Dengan hanya duduk di Masjidil Haram sepenuhnya tanpa tempah hotel boleh dapat kualiti rehat yang lebih baik.

MUHAMMAD FAWWAZ -Foto: IHSAN MUHAMMAD FAWWAZ AMINUDDIN
MUHAMMAD FAWWAZ -Foto: IHSAN MUHAMMAD FAWWAZ AMINUDDIN

“Paling penting dapat pahala lebih banyak memandangkan beriktikaf di Masjidil Haram yang mana ganjaran solat di dalamnya ialah 100,000 kali ganda berbanding tempat lain sebagaimana disebutkan dalam hadis masyhur,“ katanya kepada Sinar Islam Plus.

Meskipun sudah lima kali ke Tanah Suci termasuk sekali menunaikan ibadah haji, bapa kepada empat anak itu begitu mendambakan nikmat untuk mengerjakan umrah pada bulan Ramadan terutama 10 hari terakhir.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini, saya tiada kesempatan datang pada waktu tersebut disebabkan harga hotel yang dekat dengan Kaabah boleh naik sehingga lima kali ganda. Tidak berbaloi pun untuk tinggal di hotel kerana 90 peratus masa adalah di dalam masjid.

“Jika mahu balik hotel dan datang semula ke masjid, ambil masa hampir sejam sekiranya dekat. Kalau jauh, lebih lama disebabkan ramainya manusia di situ.

“Jadi, lebih baik jika duduk istirahat sahaja dalam masjid dan guna masa untuk beribadah,“ katanya yang mengatur perjalanan ibadah umrahnya sendiri.

Bagi sesiapa yang bercadang mengikut jejak langkahnya, Muhammad Fawwaz yang juga pakar pelaburan dan perbendaharaan menyarankan agar mereka membeli tiket penerbangan awal.

MUHAMMAD FAWWAZ menyifatkan bulan Ramadan terutama pada 10 malam terakhir merupakan peluang terbaik untuk mengabdikan diri dalam beribadah, selain melakukan iktikaf di dalam Masjidil Haram tanpa gangguan. -Foto: IHSAN MUHAMMAD FAWWAZ AMINUDDIN
MUHAMMAD FAWWAZ menyifatkan bulan Ramadan terutama pada 10 malam terakhir merupakan peluang terbaik untuk mengabdikan diri dalam beribadah, selain melakukan iktikaf di dalam Masjidil Haram tanpa gangguan. -Foto: IHSAN MUHAMMAD FAWWAZ AMINUDDIN

Katanya, ia boleh didapati dengan harga sekitar RM2,500 jika ditempah lebih awal dan menggunakan visa umrah melalui sistem eVisa dengan kos RM500.

Sepanjang perjalanan antara Madinah dan Makkah, lelaki itu memilih untuk menaiki kereta api laju Haramain yang menelan belanja RM170 sehala.

“Jika naik bas lebih murah hanya RM70, cuma pada saya, masa sangat berharga di Tanah Haram. Sekiranya boleh jimat masa perjalanan dan elak untuk berada di atas jalan sewaktu solat, itu lebih baik,“ ujarnya yang mengeluarkan kos kurang RM4,000 untuk menunaikan umrah secara sendirian.

Tip praktikal untuk iktikaf selesa

Muhammad Fawwaz yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Oman berkongsikan beberapa tip praktikal beriktikaf dengan selesa di Masjidil Haram.

Katanya, tidak perlu risau soal berbuka kerana makanan untuk iftar dan sahur banyak disediakan secara percuma oleh dermawan yang mencari pahala Ramadan.

“Bagi yang mahu menikmati makanan Malaysia, terdapat restoran seperti Felda Saji di Menara Safwah,“ sarannya.

Untuk memastikan tidur lebih selesa, Muhammad Fawwaz menyarankan agar membawa sejadah tebal yang boleh digunakan sebagai alas tidur.

“Biasanya jemaah akan berjaga sepanjang malam untuk memburu lailatulqadar dan tidur pada waktu pagi selepas solat Duha, syuruk atau selepas solat Zuhur,“ katanya sambil menasihatkan agar memilih kawasan yang kurang sesak di dalam ruangan masjid.


MUHAMMAD FAWWAZ yang menguruskan perjalanan urusan umrahnya sendiri memilih untuk beriktikaf di dalam Masjidil Haram bagi memudahkan perjalanan ibadahnya. -Foto: IHSAN MUHAMMAD FAWWAZ AMINUDDIN
MUHAMMAD FAWWAZ yang menguruskan perjalanan urusan umrahnya sendiri memilih untuk beriktikaf di dalam Masjidil Haram bagi memudahkan perjalanan ibadahnya. -Foto: IHSAN MUHAMMAD FAWWAZ AMINUDDIN

Walaupun beriktikaf, akui Muhammad Fawwaz, keperluan asasnya diurus dengan baik sepanjang beliau beribadah.

Dari segi kebersihan diri, beliau pastikan untuk mandi dan menggunakan kemudahan tandas pada waktu kurang sesak seperti sebelum Zuhur.

“Apabila nampak ramai orang pergi tandas, memang terbit rasa risau kerana melihat jumlahnya seperti mahu masuk gedung niaga. Cuma bila kita masuk ke dalam, rupanya tandas yang ada bertingkat-tingkat dan setiap tingkat ada berpuluh-puluh bilik di dalamya.

“Jumlah keseluruhan tandas untuk Masjidil Haram ialah 6,000 buah. Jarang perlu tunggu giliran lebih dari tiga minit terutama bila pergi di luar waktu solat.

“Selain itu, saya juga membawa botol penyembur air untuk memudahkan berwuduk dalam keadaan sesak,“ kongsinya selain menyimpan segala dokumen penting termasuk wang di dalam travel belt bagi memudahkannya beribadah dengan lebih tenang tanpa risau kehilangan barang.

Bagi yang datang tanpa hotel, Muhammad Fawwaz menyarankan agar membawa beg kecil dan mengelakkan mengangkut barang tidak perlu.

Datang awal ke masjid

Seperkara lagi, Muhammad Fawwaz mengingatkan agar datang awal ke masjid sepanjang Ramadan sekurang-kurangnya satu jam setengah sebelum waktu solat dan tiga jam awal sebelum waktu solat Jumaat lantaran pintu masjid ditutup awal.

JEMAAH beristirahat selepas Duha untuk melepaskan lelah di dalam saf masing-masing di satu ruangan dalam Masjidil Haram. -Foto: IHSAN MUHAMMAD FAWWAZ AMINUDDIN
JEMAAH beristirahat selepas Duha untuk melepaskan lelah di dalam saf masing-masing di satu ruangan dalam Masjidil Haram. -Foto: IHSAN MUHAMMAD FAWWAZ AMINUDDIN

Pernah sekali, Muhammad Fawwaz tidak dapat masuk ke tingkat bawah tiga jam sebelum waktu solat Jumaat iaitu sekitar jam 9 pagi waktu tempatan. Akibatnya, dirinya terpaksa ke tingkat paling atas yang panas terik.

“Dek kerana tidak mampu berpanasan sementara menunggu waktu solat Jumaat, saya menanti di tangga sahaja. Itu pun penuh dua jam sebelum (waktu solat Jumaat) sebab orang lain berteduh juga.

“Cuma pada awal pagi sebelum atau selepas Subuh dan waktu malam, tingkat atas sekali sebenarnya sangat nyaman untuk solat. Rasa seronok tanpa dinding dan hanya berbumbungkan bulan serta bintang. Syahdu rasanya solat tarawih atau tahajud sambil menghayati bacaan imam,“ tuturnya.

MUHAMMAD FAWWAZ (dua, kiri) merakam kenangan bersama rakannya ketika menunaikan umrah di Tanah Suci pada tahun lalu. -Foto: IHSAN MUHAMMAD FAWWAZ AMINUDDIN
MUHAMMAD FAWWAZ (dua, kiri) merakam kenangan bersama rakannya ketika menunaikan umrah di Tanah Suci pada tahun lalu. -Foto: IHSAN MUHAMMAD FAWWAZ AMINUDDIN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!