Man Tiger didakwa esok, empat rakan suspek ditahan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KLUANG - Lelaki tempatan dikenali sebagai Man Tiger akan didakwa pada Jumaat atas pertuduhan cubaan membunuh dalam kejadian tembakan di Kampung Bukit Batu, Machap, Simpang Renggam pada 10 Februari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek berusia 32 tahun itu dipercayai melepaskan enam das tembakan ke arah sepasang suami isteri sebelum melarikan diri.

“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau dan dia akan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan cubaan membunuh.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Johor pada 20 Februari dan polis telah menerima arahan untuk pertuduhan. Pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang,"katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.

Dalm perkembangan lain, empat rakan suspek yang berusia 34 hingga 41 tahun disyaki dalam kejadian itu ditahan Isnin lalu.

Menurut Kumar, keempat-empat suspek lelaki tempatan itu ditahan salam satu serbuan pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

"Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer berserta sarung, sepucuk senjata api disyaki tiruan, dua motosikal Yamaha yang dilaporkan hilang, beberapa peralatan yang diubah suai, beberapa paket dadah, serta enam telefon bimbit pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.

Menurut Kumar, siasatan awal mendapati senjata api yang dirampas dipercayai digunakan dalam kejadian tembakan itu, namun pihak polis masih menunggu laporan analisis balistik untuk pengesahan lanjut.

"Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah, dengan tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kumar lagi, dengan tangkapan terbaharu ini, sekurang-kurangnya empat kes jenayah telah berjaya diselesaikan.

"Kesemua suspek kini direman sehingga 23 Februari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392/397.

"Selain itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2); Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!