Lelaki tampar jururawat enggan benar anak jumpa nenek

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki menampar jururawat di Hospital Rayong. - Agensi
Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki menampar jururawat di Hospital Rayong. - Agensi
A
A
A

RAYONG - Seorang lelaki di Thailand bertindak menampar kepala seorang jururawat di Hospital Rayong selepas wanita itu menghalang anaknya yang masih kecil daripada memasuki wad hospital untuk berjumpa dengan neneknya.

Insiden ini menjadi perhatian ramai selepas seorang jururawat yang dikenali sebagai Prang Tewika memuat naik hantaran di Facebook pada 17 Februari, menuntut keadilan untuk adik perempuannya yang bertugas sebagai jururawat di hospital berkenaan.

"Ahli keluarga pesakit telah menampar seorang jururawat. Ada sesiapa boleh cadangkan peguam yang hebat?" ujar Prang.

Dalam kemas kini berikutnya, Prang menjelaskan bahawa adik perempuannya hanya menegur seorang wanita Thailand supaya tidak membawa anak kecil ke dalam wad hospital.

Wanita itu kemudian mengadu kepada suaminya yang bertindak menyerang jururawat tersebut di kaunter jururawat dengan dua kali tamparan di muka.

Selepas itu, pihak hospital segera membuat laporan polis, namun lebih mengejutkan, suspek langsung tidak menunjukkan rasa kesal.

"Saya sepatutnya menampar dia di luar hospital. Kesilapan saya hanyalah menamparnya ketika dia sedang bertugas," kata suspek.

Sementara itu, Hospital Rayong menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang sepenuhnya terhadap seorang lelaki yang menyerang seorang jururawat di ICU.

Pengarah Hospital Rayong, Dr Phusit Supsomphol, dalam sidang media pada Selasa berkata, pihak hospital tidak akan berkompromi dan akan memastikan pelaku dihukum mengikut undang-undang. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!