Najis, bangkai tikus ditemukan di kedai kopi

GEORGE TOWN - Sebuah premis makanan jenis kedai kopi berkonsepkan medan selera di Pulau Tikus di sini diarah tutup selama 14 hari bermula Rabu selepas didapati tahap kebersihan tidak memuaskan.
Tindakan tegas ini diambil oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu operasi kebersihan yang dijalankan petang Rabu.
Menurut MBPP, dalam pemeriksaan itu, pihaknya bangkai tikus serta urungan najis tikus dan lipas di premis berkenaan.
"Premis makanan tersebut didapati gagal mematuhi piawaian kebersihan ditetapkan dan markah penilaian kebersihan premis juga tidak mencapai tahap yang memuaskan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah MBPP, selain premis berkenaan, sebuah lagi gerai yang menyewa di medan selera tersebut juga didapati berada dalam keadaan uzur dengan bau yang kurang menyenangkan.
"Pegawai Jabatan Pelesenan MBPP yang bertugas turut memberikan teguran dan nasihat kepada pengusaha medan selera untuk meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.
"Antara saranan yang diberikan adalah mengadakan tindakan kawalan serangga secara berkala, menyediakan perangkap minyak yang sempurna, menggantikan bumbung gerai-gerai uzur dan melarang penggunaan penyedut minuman plastik," katanya.

Menurut MBPP, pihaknya akan terus memantau tahap kebersihan semua premis makanan dari masa ke semasa.
"Semua pengusaha makanan dinasihatkan supaya mengutamakan kebersihan di ruang dapur, stor penyimpanan bahan mentah, perangkap minyak dan sebagainya bagi menjamin kualiti makanan yang disediakan kepada pelanggan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana premis makanan yang didapati tidak mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

