Ibu simbah air panas berang anak terkencing atas tilam

JAKARTA – [DIKEMAS KINI] Seorang ibu tergamak memukul dan menyimbah air panas kepada anak kandungnya hanya kerana dia terkencing di atas tilam.
Ketua Polis Daerah Sidoarjo, Komisioner Pol Christian Tobing berkata, insiden penderaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu berlaku di Kecamatan Candi, Kabupaten Sidoarjo, Jawa Timur baru-baru ini.
Susulan itu katanya, mangsa mengalami kecederaan serius dan dirawat di hospital, sementara pelaku telah ditahan pihaknya.
“Mangsa dipercayai terkencing di atas tilam, lantaran itu pelaku menjadi marah.
"Oleh itu pelaku menyimbah air panas ke kepala dan muka serta belakang mangsa sebanyak dua kali. Oleh kerana kepanasan, mangsa semakin menjerit dan menangis," katanya kepada wartawan pada Sabtu lalu.
Tambahnya lagi, pelaku bertambah marah lantas menuang lagi air yang mendidih selain memukul belakang dan tangan anaknya menggunakan penyapu lantai keluli sehingga bengkok gara-gara mangsa menangis.
Ujarnya, kes ini kini dikendalikan oleh Unit Perlindungan Perempuan dan Anak Bahagian Siasatan Jenayah Polis Sidoarjo.
Atas perbuatannya, pelaku terjerat hukuman mengikut Pasal 80 ayat (2) dan/atau ayat (4) Undang-Undang Republik Indonesia Nombor 35 Tahun 2014 tentang Perubahan Undang-Undang Republik Indonesia Nombor 23 Tahun 2002 tentang Perlindungan Anak. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!