Pelekat pudar, Puspakom tiada kuasa ubah syarat pemeriksaan

SHAH ALAM - Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) tidak mempunyai kuasa untuk mengubah mana-mana kaedah atau syarat pemeriksaan, bahkan menegaskan semua operasi dijalankan mengikut kaedah dan prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, walaupun terdapat pandangan bahawa pelekat berat muatan yang pudar tiada kaitan dengan keselamatan jalan raya, Puspakom tetap perlu mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Katanya, Puspakom perlu memastikan bahawa pemeriksaan dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
"Jika tidak, kami boleh didenda oleh JPJ. Semua pemilik kenderaan tahu apa syarat yang perlu dipatuhi. Jika mereka membawa kenderaan yang tidak mematuhi syarat untuk pemeriksaan, ini menunjukkan sikap sambil lewa mereka terhadap syarat dan kaedah yang telah dikuatkuasakan.
"Inilah masalah sikap yang kita perlu tangani," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap isu yang yang dibangkitkan oleh Setiausaha Persatuan Lori Sibu, Augustine Paat pada 16 Februari lalu berhubung pemeriksaan berkala lori yang dijalankan oleh Puspakom.
Menurut Augustine, terdapat situasi di mana pemeriksaan gagal dilakukan atas alasan yang dianggap tidak munasabah, salah satunya apabila pelekat mengenai berat muatan di sisi lori yang sudah pudar, turut menjadi sebab pemeriksaan gagal.
Mahmood Razak berkata, sebagai syarikat yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri pemeriksaan kenderaan, Puspakom berharap agar semua pihak terus memberi kerjasama dalam memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terjamin melalui pemeriksaan yang telus, profesional, dan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
"Puspakom juga ingin mengingatkan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak termasuk pemilik kenderaan dan syarikat itu turut memastikan keselamatan jalan raya dengan menjalankan pemeriksaan kenderaan dengan telus dan berintegriti,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
