Peluang masih terbuka buat Aaron-Wooi Yik, Man-Tee

SAINGAN beregu lelaki untuk menggalas cabaran negara pada Kejohanan Badminton Piala Sudirman di China April depan kian sengit.
Kedudukan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat tergugat susulan prestasi cemerlang gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada musim ini.
Pasangan nombor 12 dunia itu menjuarai Masters Indonesia dan melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia, selain menjadi pilihan utama ke kejohanan berpasukan campuran.
Malah Wei Chong-Kai Wun unggul apabila menang kedua-dua aksi Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di China ketika bertemu Hong Kong dan Indonesia biarpun pasukan sudah tewas.
Biarpun pemilihan untuk ke Piala Sudirman belum diputuskan, namun ia sudah pasti menyukarkan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky untuk membuat keputusan.
Ini kerana gandingan nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani hampir pasti dipilih selepas mengungguli Terbuka India bulan lalu.
Justeru perebutan tiket beregu lelaki ke Piala Sudirman beralih kepada Aaron-Wooi Yik atau Wei Chong-Kai Wun.
Rexy bagaimanapun memberitahu, peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasangan itu dan pemilihan akan bergantung kepada prestasi mereka pada kejohanan akan datang.
“Keputusan belum dibuat (calon beregu lelaki ke Piala Sudirman). Ia boleh jadi Aaron-Wooi Yik dan Sze Fei-Nur Izzuddin atau Sze Fei-Nur Izzuddin bersama Wei Chong-Kai Wun.
“Kami mempunyai banyak pilihan dan ia bergantung kepada prestasi mereka di Seluruh England dan Kejohanan Badminton Asia.
“Wei Chong-Kai Wun menunjukkan kematangan dalam BAMTC. Mereka tidak mengalah walaupun pasukan sudah kalah, sebaliknya terus berjuang hingga ke akhir perlawanan,” katanya.
Justeru bagi memikat hati Rexy, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking kelima dunia tidak mempunyai pilihan selain membawa pulang keputusan terbaik.
Ia melibatkan Seluruh England di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac dan Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China (8 hingga 13 April) bagi mencerahkan peluang mereka ke Piala Sudirman.
INFO
Piala Sudirman dijadual berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!