1,020 pegawai perkhidmatan awam terlibat pusingan kerja sejak Ogos lepas

PUTRAJAYA - Seramai 1,020 pegawai perkhidmatan awam terlibat pelaksanaan inisiatif pusingan kerja sejak Ogos tahun lepas.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan seramai 283 pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dari pelbagai skim perkhidmatan telah ditempatkan ke jawatan baharu.
Ia turut membabitkan 737 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) Perkhidmatan Gunasama.
JPA menyatakan kerajaan kekal komited melaksanakan inisiatif berkenaan bagi memperkasa keupayaan pemboleh daya reformasi sektor awam.
"Pelaksanaan pusingan kerja telah memberi jalan keluar yang signifikan dalam memperoleh keberhasilan yang maksima, sekali gus dapat membendung kemerosotan prestasi, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.
"Sesungguhnya, kerajaan amat yakin bahawa menerusi pusingan kerja, bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan dan daya saing sektor awam, tetapi juga memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien, progresif, dan responsif terhadap keperluan rakyat dalam mendepani cabaran semasa," menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!