Al-Quran Karya Bestari paling laris - Pemilik kedai buku

SHAH ALAM - Seorang pemilik kedai buku di Pusat Borong GM Klang (GM Klang) berkongsi bahawa al-Quran terbitan Karya Bestari merupakan produk paling laris dengan jualan mencecah 1,000 naskhah sehari.
Hussain Sabbir berkata, bagi tempoh satu atau dua bulan sebelum puasa merupakan waktu di mana jualan al-Quran mula meningkat dengan mendadak.
“Sepanjang 10 tahun menjual buku serta barangan haji dan umrah di GM Klang, bulan Ramadan merupakan waktu paling ramai pelanggan mencari al-Quran ini.

“Kami pernah menjual sehingga 1,000 naskhah malah ada pelanggan tetap yang membeli sehingga 500 al-Quran dalam sehari,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambahnya, al-Quran terbitan Karya Bestari menjadi pilihan pelanggan kerana menawarkan pelbagai keistimewaan seperti penggunaan tajwid, dwibahasa, terjemahan, serta pilihan mengikut juzuk.
“Sambutan terhadap al-Quran tersebut sangat menggalakkan kerana ia memenuhi keperluan dalam satu pakej lengkap. Di platform dalam talian pula jualan al-Quran mencecah 100 naskhah setiap hari.

“Ramai bersetuju terbitan Karya Bestari mempunyai kelainan dan keunikannya tersendiri. Orang ramai juga gemar mencari al-Quran ini kerana turut ditawarkan dalam pelbagai saiz,” ujar beliau.
Hussain yang juga Pengarah Bijak Mentari Enterprise berkongsi, dia turut menjadi pembekal al-Quran Karya Bestari kepada kedai-kedai buku lain kerana sambutan dan jualan yang amat memberangsangkan.
“Kami pernah menghantar satu lori penuh kepada kedai buku lain. Ini menunjukkan bahawa pelanggan amat menyukai al-Quran terbitan Karya Bestari dan permintaan terhadapnya sangat tinggi.
“Di GM Klang, saya meletakkan al-Quran tersebut di bahagian depan kedai kerana ia merupakan tarikan utama bagi barangan untuk umat Islam. Orang ramai membeli bukan sahaja untuk kegunaan peribadi tetapi sebagai hantaran dan hadiah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
