X

Kindly register in order to view this article
!

Apa pilihan Anwar kini?

A
A

MELALUI satu sidang media selepas berakhirnya mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya kelmarin, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetepikan ramalan awal banyak pihak apabila mengumumkan persetujuan Majlis Presiden PH memberi ruang kepada beliau menentukan sendiri tarikh peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Umum mengetahui isu penetapan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri kini menjadi polemik perbincangan rakyat saban hari.

Pada sidang media itu, Dr Mahathir dilihat tenang, tersenyum dan ada kala berseloroh sewaktu menjawab persoalan wartawan mengenai tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jawapan Dr Mahathir menggambarkan beliau masih sangat berkuasa dan tidak tergugat dalam menangani desakan peralihan kuasa, meskipun menerima tekanan yang sangat kuat daripada beberapa ahli Parlimen PH yang dipercayai rapat dengan Anwar.

Meskipun kenyataan media Dr Mahathir malam kelmarin disambut positif oleh Anwar dan isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, adakah Ahli Parlimen Port Dickson itu benar-benar menerima keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH dengan hati terbuka?

Hal ini dapat diperdebatkan menerusi perjalanan mesyuarat Majlis Presiden PH yang dilaporkan berlangsung tegang selama lebih dua jam.

Dalam mesyuarat itu, seorang wakil pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa oleh sebuah portal berita sebagai memberi amaran bahawa parti itu akan mempertimbangkan keluar PH sekiranya parti-parti lain dalam pakatan itu terus menekan Dr Mahathir meletak jawatan segera.

Kenyataan pemimpin Bersatu itu dikatakan mengundang pertikaian besar banyak pihak, dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengatakan parti itu tidak gentar dengan keputusan itu dan disokong padu oleh wakil DAP.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diketahui umum tidak lagi sehaluan dengan Anwar seperti dijangka memberikan sokongan kepada Dr Mahathir untuk dikekalkan sehingga habis penggal.

Redakan ketegangan

Mesyuarat itu ditamatkan dengan Anwar yang dikatakan berperanan meredakan ketegangan sepanjang mesyuarat. Anwar meminta agar Dr Mahathir dibenarkan menentukan tarikh peralihan kuasa tersebut selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan diadakan pada bulan November ini.

Keputusan Anwar itu dianggap baik oleh pelbagai pihak susulan tumpuan kerajaan kini seharusnya terarah kepada usaha memulihkan ekonomi negara, menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang memberi kesan langsung kepada ekonomi serta mereformasi pentadbiran negara.

Persoalannya, adakah Anwar benar-benar komited untuk tidak lagi memfokuskan isu peralihan kuasa? Apakah pilihan lain yang beliau ada untuk membolehkan beliau akhirnya diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan?

Penganalisis politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, senario itu sebenarnya memberi gambaran yang tidak begitu baik terhadap Anwar.

Menurutnya, keputusan itu jelas bertentangan dengan keyakinan disuarakan Anwar sewaktu mengumumkan objektif mesyuarat Majlis Presiden PH berlangsung kelmarin bagi memuktamadkan tarikh peralihan kuasa kepada beliau.

“Anwar kata beliau sanggup tunggu, tetapi adakah penyokong Anwar berkongsi pandangan sama?

“Sekiranya Anwar gagal meredakan kemarahan penyokong beliau disebabkan keputusan terbaharu Majlis Presiden PH itu, tidak mustahil protes secara emosi menyerupai demonstrasi reformasi pada tahun 1998 akan berulang kembali,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bagaimanapun, Sivamurugan tidak melihat Dr Mahathir bersifat autokratik atau diktator sewaktu mengumumkan keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH kelmarin kerana ia adalah keputusan yang dibuat bersama.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berpandangan Anwar tidak mempunyai pilihan lain selain menghormati kehendak Dr Mahathir untuk menentukan sendiri tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri kepada beliau.

Menurutnya, Anwar harus menyedari peranan Dr Mahathir kini sudah melampaui tahap seorang negarawan dengan beliau boleh dianggap mewakili satu institusi penting dalam negara, setaraf dengan pengaruh bekas Perdana Menteri Afrika Selatan, mendiang Nelson Mandela.

“Faktor penentu Dr Mahathir dalam amalan demokrasi negara ini amat besar sehinggalah terbentuk istilah ‘Mahathirokrasi’ di mana beliau sentiasa memainkan peranan penting dalam menentukan jatuh bangun seorang Perdana Menteri, parti mentadbir kerajaan dan mengimbangi kuasa institusi diraja tanpa mengundang kemarahan rakyat.

“Faktor Mahathirokrasi hari ini juga dikagumi dunia kerana kemampuan Dr Mahathir menjadi pengimbang menstabilkan pentadbiran kerajaan dengan kepimpinan beliau bukan sahaja disenangi pemimpin dalam PH, bahkan parti-parti pembangkang,” katanya.

Berikutan itu, Md Shukri mencadangkan Anwar bersama kem penyokongnya menghormati era Mahathirokrasi yang diamalkan Dr Mahathir ketika ini dengan terus memberi kerjasama politik kepada beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin menyifatkan keputusan memberi ruang kepada Dr Mahathir menentukan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri jelas memaparkan kekuatan Pengerusi PH itu dalam mendepani tekanan politik dalaman.

“Kalau hendak kata Anwar betul-betul pemimpin berpengaruh, mengapa dalam dua kali PRU12 dan PRU13, pembangkang di bawah pimpinan beliau gagal sedangkan Dr Mahathir yang baru sekali menyertai PH terus membantu kemenangan pada PRU14?

“Semua pemimpin dalam PH menyedari Dr Mahathir membawa elemen sokongan pengundi Melayu dalam pakatan itu, namun kebanyakan mereka dilihat seolah-olah tidak mengenang budi dan hanya mendesak beliau segera meletak jawatan,” katanya.

Shamsul Amri turut membangkitkan persoalan adakah Dr Mahathir benar-benar mahu menyerahkan tampuk kepimpinan Perdana Menteri kepada Anwar susulan sejarah silam perseteruan dua pemimpin itu yang tampak tidak berkesudahan sehingga kini.

Menurutnya, terdapat teori mengatakan keengganan Dr Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar adalah atas kebimbangan perjuangan Anwar adalah perjuangan proksi untuk bukan Melayu.

Beliau turut bersependapat dengan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim bahawa sesuatu mungkin akan berlaku sebelum November hadapan dengan meramalkan tidak mustahil Dr Mahathir akan menubuhkan kerajaan baharu.

“Mengenai dakwaan Dr Mahathir bersifat diktator, saya fikir beliau bersikap konsisten sejak dahulu lagi dengan bersikap adil kepada semua, cuma beliau terpaksa bersikap kejam sekiranya keadaan memerlukan.

“Namun, ketika ini beliau dilihat membuat pendirian keras disebabkan rasa tercabar dengan tekanan politik dihadapinya dan ingin menguji sokongan PH terhadap beliau.

“Dengan keadaan politik tidak menentu ketika ini, tidak mustahil beliau membuat keputusan drastik menubuhkan kerajaan baharu dengan menamakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai penggantinya kerana kedua-duanya mempunyai rekod bersih,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus