Carum insurans sewajarnya jika bawa kenderaan bercuti di Thailand

Mohd Shafiq menunjukkan antara kemalangan melibatkan rakyat Malaysia ketika bercuti di Thailand.
Mohd Shafiq menunjukkan antara kemalangan melibatkan rakyat Malaysia ketika bercuti di Thailand.
A
A
A

KUBANG PASU - Rakyat Malaysia yang ingin membawa kenderaan sendiri untuk bercuti ke Thailand dinasihatkan mencarum pakej insurans sewajarnya sebagai persediaan sekiranya berlaku kemalangan atau sesuatu tidak diingini di negara jiran.

Pengarah Urusan GoThai My Sdn Bhd, Mohd Shafiq Johari, 42, berkata, kebanyakkan rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di negeri bersempadanan Thailand gemar mengambil insurans yang diwajibkan sahaja kerana menganggap tidak penting selain sudah biasa ke sana.

Katanya, insurans terbabit hanya menanggung bil rawatan hospital tanpa memberi perlindungan kepada kerosakan kenderaan pihak ketiga, ikat jamin polis dan lain-lain isu.

"Berdasarkan rekod yang ada di syarikat saya dilaporkan sebanyak lapan kes kemalangan berlaku dalam masa sehari di negara jiran membabitkan rakyat tempatan yang membawa kenderaan ke sana.

"Ramai antara mereka terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membayar ganti rugi kepada mangsa kemalangan negara berkenaan kerana mereka tidak mencarum insurans tambahan seperti 'voluntary insurance' dan insurans pelancong," katanya ketika ditemui di pejabat urusannya di Napoh di sini pada Khamis.

Menurutnya, terdapat beberapa kes kemalangan yang berlaku di Thailand wajar diambil iktibar oleh rakyat di negara ini.

"Ada kes rakyat kita yang motosikalnya bergesel sedikit dengan motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson, dia akhirnya terpaksa bayar kepada tuan motosikal sebanyak RM3,000.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga orang kita melanggar mati warganegara Thailand dan oleh kerana dia ambil insurans yang diwajibkan saja akhirnya dia perlu bayar pampasan kira-kira RM70,000 kepada waris si mati," katanya.

Mohd Shafiq yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang takaful dan insurans ke Thailand berkata, antara punca kemalangan rakyat Malaysia di Thailand adalah disebabkan terlelap ketika memandu.

"Ini kerana ramai pemandu dari selatan semenanjung termasuk Kuala Lumpur memandu secara terus tanpa rehat hingga ke Thailand.

"Mereka dari Melaka, Negeri Sembilan, Johor selalunya terus memandu ke Thailand, apabila sampai di sana badan sudah terlalu letih dan akhirnya berlaku kemalangan.

"Ada juga kes kerana serangan jantung dan meninggal dunia termasuk ada yang perlu dirawat di hospital di Thailand," ujarnya.

Menurut Mohd Shafiq, rakyat Malaysia juga dinasihatkan lebih bertolak ansur dan bertimbang rasa apabila memandu di Thailand kerana budaya dan undang-undang jalan raya mereka berbeza dari di Malaysia.

"Jika berada di persimpangan jalan, kalau ada kenderaan lain seperti treler, lebih baik beri laluan kepada mereka dulu walaupun kita berada di laluan yang benar.

"Di sana lebih mengutamakan perasaan bertimbang rasa antara satu sama lain contohnya apabila tiba di simpang jalan tak boleh pecut laju walaupun lampu hijau, semua perlu berhati-hati," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!