Penganggur 'kaki tipu', jerat love scam kena dakwa lagi

SHAH ALAM - Memperdaya mangsa kononnya boleh membebaskan tahanan dalam lokap, selain terlibat dalam love scam antara taktik dilakukan seorang penganggur sebelum kegiatan dilakukan itu terbongkar selepas ditahan, 1 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semakan mendapati individu yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 31 tahun ini turut terlibat dalam kes penipuan di beberapa buah negeri di semenanjung ini.
"Siasatan sebelum ini mendapati antara penipuan dilaporkan termasuk menawarkan lelongan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang didapati tidak wujud, penipuan membebaskan tahanan dalam lokap dan penipuan urusan pajak gadai.
"Selain itu, suspek sebelum ini turut terlibat dalam penipuan urusan perniagaan serta menipu untuk berkahwin selepas berkenalan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, siasatan sebelum ini mendapati suspek akan berjumpa secara bersemuka dengan mangsa sebelum meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank miliknya.
"Semakan mendapati terdapat tujuh kes penipuan dilaporkan di kontinjen Selangor yang melibatkan suspek," katanya.
Menurutnya, suspek sebelum ini telah dituduh melibatkan tiga kes berasingan.
"Pada 16 Januari lalu, individu ini didakwa di Mahkamah Klang di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda selepas mengaku bersalah manakala pada 17 Januari, dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Gombak di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan juga telah membayar denda.
"Manakala pada 24 Januari lalu, suspek mengaku bersalah setelah dituduh di Mahkamah Klang di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kuala Kubu Bharu," katanya.
Hussein berkata, suspek juga akan menghadapi pertuduhan baru pada 5 Februari (Rabu) di Mahkamah Majistret Kuala Selangor di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Selain itu, suspek terlibat dalam kes serupa di Kedah, Negeri Sembilan, dan Johor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

