Puspahanas mampu lahir pemikir strategik, perancang pertahanan

Mohd Nizam menyampaikan Ucaptama Panglima Angkatan Tentera di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mohd Nizam menyampaikan Ucaptama Panglima Angkatan Tentera di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) berperanan sebagai pusat kecemerlangan dalam pengajian dan penyelidikan yang mampu melahirkan pemikir strategik dan perancang pertahanan dalam menghadapi sebarang ancaman.

Panglima Angkatan Tentera, General Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, kewujudan Puspahanas sebagai institusi ilmu dan strategi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus relevan serta berdaya saing dalam landskap keselamatan global.

"Melalui Professional Military Education (PME), latihan serta pendidikan profesional dalam melahirkan anggota yang kompeten, cekap teknikal, taktikal, dan mahir memanfaatkan teknologi dalam penugasan di pelbagai penempatan," katanya dalam Majlis Ucaptama Panglima Angkatan Tentera di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Mohd Nizam berkata, pendekatan itu memenuhi keperluan pemodenan ATM memperkukuhkan keupayaan pertahanan negara dan membentuk pemimpin berwawasan dengan nilai murni serta pemikiran strategik.

"Konsep pembelajaran yang berterusan harus difahami di dalam menzahirkan warga ATM yang berpengetahuan dan berwibawa untuk mampu membawa ketumbukan ini merentasi masa," katanya.

Tambah Mohd Nizam, dalam memastikan PME terus berkesan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berpotensi menjadi sebuah 'centre of excellence' dalam bidang kepimpinan dan strategi pertahanan.

"UPNM wajar berperanan sebagai agen untuk memperkukuhkan hubungan antara pendidikan, latihan dan keperluan strategik negara serta sebagai pusat melahirkan bakal pemimpin tentera yang berwibawa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!