'Satu sen pun DAP tak pernah bagi Amanah' - Izham

SHAH ALAM - Pas sepatutnya menjelaskan polisi dan kejayaan tadbir urus di negeri yang diperintah oleh parti itu dan bukan mencipta pembohongan serta naratif jahat kepada Parti Amanah Negara (Amanah).
Menurut Pengerusi Amanah Selangor, Datuk Ir Izham Hashim, dakwaan Pas bahawa Amanah lahir dari DAP merupakan siri fitnah yang sengaja dijaja parti itu.
Beliau yang juga bekas pemimpin Pas berkata, parti itu tidak serik dengan beberapa kekalahan saman fitnah dan dilihat sengaja menabur sentimen kebencian.
"Terbaharu, hero utara mereka buat kenyataan jelas dalam video yang Amanah ini adalah daripada DAP... alat, dilahirkan, ditaja, dibayar dan dibuat semua oleh DAP.
"Mereka ada bukti ke? Kalau tidak, berdosa. Ini fitnah. Kenapa? Kerana dia tahu orang Melayu takut pada DAP. Jadi, gunakan DAP. Satu sen pun DAP tak pernah bagi pada Amanah, macam mana DAP boleh sokong Amanah?
"Kami lebih lama perjuangan, kita sangat mahir dan faham Pas macam mana. Tidak seteruk seperti sekarang ini yang mana fitnah ini sudah jadi seperti darah daging mereka," katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini dilaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada program Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kedah pada Jumaat mendakwa Amanah ditubuhkan oleh DAP.
Susulan itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menafikan dakwaan itu dan menegaskan Amanah diasaskan oleh bekas ahli Pas yang menolak hala tuju politik parti berkenaan.
Mengulas lanjut, Izham berkata, Pas perlu mengenakan tindakan disiplin terhadap ahli dan pemimpin yang sengaja menabur fitnah terbabit.
"Pas nyatakan komitmen untuk ikut Islam dan cakap fitnah lebih buruk daripada membunuh tetapi apabila, pemimpin atau ahli mereka membuat kenyataan fitnah mereka sokong, malah kutip duit lagi untuk bayar saman.
"Sedangkan, mereka patut diberi tindakan disiplin kerana fitnah ini adalah sangat dahsyat sampai Islam larang. Bukan setakat mereka tidak mengambil tindakan disiplin walaupun telah terbukti di mahkamah, tetapi mereka pula bersama-sama.
"Sejak saya tinggalkan Pas, era Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak seperti ini tetapi kebelakangan ini, Pas begitu hebat sekali fitnah. Adakah ini budaya dalam Pas dan ia sinonim dengan Islam?" soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
