Pas Pahang tekad terus agenda penyatuan ummah

KUANTAN - Pas Pahang tekad untuk meneruskan agenda penyatuan ummah demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negeri.
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, modul penyatuan ditinggalkan oleh Rasulullah SAW merupakan jalan terbaik untuk memastikan Pahang terus berkembang sebagai negeri yang aman dan sejahtera.
Beliau turut menggariskan beberapa matlamat utama melalui agenda ini, antaranya mempertahankan nilai Islam dan Melayu sebagai teras bangsa yang perlu dipelihara dari segi agama dan budaya.
"Ini juga bertujuan menangkis serangan pemikiran dan fahaman yang boleh merosakkan akidah umat Islam, seperti pluralisme, liberalisme dan sebagainya.
"Seterusnya, dapat mempertahankan dominasi Melayu Islam dalam pentadbiran negeri Pahang dan mengukuhkan lagi institusi diraja," katanya.
Beliau menjelaskan suasana harmoni antara masyarakat Pahang yang berbilang kaum, bangsa, dan agama akan menyebabkan penduduk negeri ini berasa selamat.
Katanya, kestabilan politik yang terhasil daripada penyatuan ummah ini akan membina keyakinan bagi pelabur dan pemain ekonomi untuk melabur di negeri ini.
"Kita seru semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk bersama-sama menggerakkan usaha bagi merealisasikan agenda penyatuan ummah ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

